May 07, 2013

Anak Melayu, bangkitlah! by Shazuan Ali


This article was published in The Malaysian Insider: Anak Melayu, bangkitlah! - Shazuan Ali

7 MAY – Kenapa mesti kita sibuk melaungkan kata keamanan kalau dalam mecari keamanan dan kesejahteraan itu sendiri kita masih mempejuangkan hak kaum persendirian? Ini bukan penulisan perkauman atau hasutan. Ini penulisan mudah cuba memberi faham.

Masyarakat cina menguasai peratusan besar ekonomi  Malaysia dan sekarang seperti yang dinyatakan oleh perdana menteri selepas mengumumkan pembentukan kerajaan persekutuan, perikatan utama Malaysia iaitu Barisan Nasional tewas adalah disebabkan “Chinese Tsunami” dan anak Melayu mula mengatakan “masyarakat Cina menguasai percent terbesar politik Negara dan ini sangat membimbangkan”. Bagi saya perkara ini sangat tidak adil dan bersifat perkauman. Bila dalam konteks Masyarakat Cina menguasai politik, pernyataan itu adalah sangat tidak berasas. Sebab apa?

Mungkin kita lupa bahawa PAS & PKR memenangi sebanyak 51 kerusi parlimen dan kebanyakan calon mereka adalah orang islam berbangsa Melayu. Dicampur pula dengan bilangan kerusi 103 kerusi parlimen yang dimenangi UMNO, jadi jumlah keseluruhan adalah 154 kerusi. Jadi dari mana datangnya informasi masyarakat cina menguasai politik negara?

Cuma dalam konteks “Chinese Tsunami” tu tadi kita sepatutnya berfikiran lebih dinamik dan cuma melihat ia dari perspektif yang berbeza. Apabila 28% pengundi dari masyarakat Cina yang keluar mengundi pada 5 Mei yang lepas, 27% daripada mereka memilih untuk mengundi calon-calon selain daripada calon MCA. Dan adalah kurang bijak kalau kita secara melulu mengatakan masyarakat Cina sangat racist dan mahu menguasai politik malaysia. Mengapa?

Sebagai contoh yang jelas dan mudah, kawasan berpenduduk bermajoriti masyarakat Cina iaitu di parlimen Pandan di mana keputusan pilihanraya memihak kepada calon berketurunan Melayu iaitu saudara Rafizi Ramli dengan majoriti yang sangat besar dan tidak kepada calon yang berketurun Cina bernama Gary Lim dari parti MCA. Dari sini jelas menyatakan suara rakyat suara keramat yang kian jelas menolak politik perkauman sekali gus cukup untuk mematikan tuduhan “Cina nak kuasai politik Malaysia”!

Sampai bila kita sebagai anak Melayu mahu terus menerus dimomokkan dengan peristiwa 13 Mei ? Saya tidak berminat untuk bercerita soal 13 Mei atas sebab saya masih belum lahir pada masa itu dan jika ada perkara yang tidak benar saya jelaskan jatuh fitnah hukumnya nanti. Jadi, adakah semangat Melayu! Melayu! Melayu! Cina balik negara China dan India balik negara India akan membawa kita anak Melayu ke tahap yang lebih maju ? Habis macam mana dengan kakak ipar saya dan keluarganya yang beragama islam tetapi berbangsa India ? Dan bagaimana pula  dengan  nenek saudara saya yang beragama islam tetapi berketurunan Cina ? Kalaulah Malaysia ni cuma ada Melayu. Tapi itu kalau.

Hakikatnya selepas 56 tahun, persoalan yang patut kita tanyakan pada diri kita, di mana tahap kita sebagai anak Melayu ? Melayu ada keistimewaan dalam perlembagaan Malaysia tetapi di mana relevannya keistimewaan itu kalau selepas 56 tahun juga anak Melayu masih duduk di takuk pemikiran yang sama ?

Kenapa dengan mudah anak Melayu mempercayai yang suatu hari nanti negara ni menjadi negara di mana agama rasminya adalah Kristian dan yang paling popular di kalangan anak Melayu, “nanti Cina nak hapuskan hak keistimewaan melayu”.

Sahabat, kalau kita baca dan kaji kita pasti tahu perkara mudah ini. Perlembagaan Malaysia itu bersifat kebal. Sehinggakan, sebagai contoh yang mudah difahami, jika ada perkara yang al-quran kata salah, tapi dalam perlembagaan mengatakan ia tidak salah, maka perkara itu secara rasminya adalah tidak salah. Begitulah kebalnya perlembagaan Malaysia dan sifat kekebalan itu pun sudah cukup untuk kita faham bukan mudah untuk perlembagaan kita dipinda.  Jelas?

Adakah sahabat Cina kita ada keistimewaan dalam perlembagaan ? Tidak ada. Tapi mengapa sehingga sekarang mereka adalah antara ahli perniagaan paling berjaya ? Melayu ada keistimewaan dalam perlembagaan? Ada. Di mana tahap pemikiran anak Melayu sekarang ?

1Malaysia diwujudkan untuk menyatu padukan rakyat Malaysia akan tetapi konsep itu musnah bila ungkapan racist “Chinese Tsunami” di keluarkan. 13 Mei akan berlaku dan apa yang menyedihkan adalah kerana ia mungkin berlaku di sebabkan, dalam era urbanisasi ini, anak Melayu masih di takuk lama iaitu “Hidup Melayu” sedangkan sahabat Cina, India dan etnik yang lain dengan bangga berkata “Saya Berbangsa Malaysia”.

Paling menyedihkan apabila mereka yang bukan beragama Islam lebih memahami bahawa Islam itu indah dan ia adalah untuk semua bangsa. Sudahlah anak Melayu. Bangkit. Jangan bermimpi kita berada di zaman 1969. Ini bukan zaman perkauman. Ini Zaman ketuanan rakyat. Saya bukan menyokong Cina dan saya tidak meminta Cina menyokong saya tetapi saya dan Cina bersatu menjadi Bangsa Malaysia dan menolak korupsi yang ada sekarang. Jangan gelapkan mata menerima di dada korupsi yang jelas dan terang hanya kerana semangat “Hidup Melayu”!

Penulisan saya ini tidaklah menggambarkan kesemuanya. Saya cuma mahu mengajak sahabat minority Melayu yang masih belum membuka minda untuk menerima hakikat yang kita bukan lagi di dalam era “racial instability” sepertinya 50 tahun dulu. Kita sepatutnya bersatu menuju era Malaysia baru dan maju. Sebagai permulaan, membacalah. Buka hati dan minda, baca dari segenap media yang ada dan bukan sekadar media arus perdana. Anak Melayu, Bangkitlah!

Nama saya Shazuan Ali. Saya beragama Islam dan saya berbangsa Malaysia.

Hidup Malaysia!

No comments: